Baru kelmarin aku tengok Lagenda Budak Setan. Walaupun banyak yang berbeda dari novel asal, dan filem itu tak merangkumi semua yang terkandung dalam karya agung Ahadiat Akashah itu, ia masih mampu memberi impak pada sesiapa yang menontonnya.
Babak terakhir dimana Ayu pergi menemui sang pencipta dunia amat meruntun jiwa. Dengan lagu yang menjadi latar kepada babak itu, sungguh, hati jadi sayu.
Entah kenapa sejak dari tu, setiap kali terdengarkan lagu itu, hati mula pilu. Mungkin hanya mainan perasaan kan?
Hari ini, si dia dikejutkan dengan berita pemergian datuk tercinta. Sekarang si dia sedang dalam perjalanan menuju ke kampung untuk menatap wajah arwah buat kali terakhir. Kali terakhir, ketika si dia mengkhabarkan berita pemergian datuknya, aku juga hiba. Tidak semena, bait-bait lagu dari filem Lagenda Budak Setan seakan bermain di cuping telinga. Airmata tak dapat lagi ditahan.
Aku juga sudah kehilangan banyak insan yang tersayang. Tapi bukan itu sebab air mata ini berlinangan menuruni pipi.
Aku sayu bila memikirkan bahawa manusia tidak mampu menduga apa yang bakal terjadi. Aku juga, mungkin sesaat selepas menulis entry ini, aku akan pergi menemui illahi atau masih bernafas di bumi ini. Entah esok atau lusa, atau bila-bila sahaja akan ada orang yang aku kasihi pergi menyahut panggilan Illahi. Dan yang membuat aku lebih pilu, jika aku tidak sempat berjumpa dan bermesra, berbaik dan bermaafan, menabur bakti serta membahagiakan orang-orang yang aku kasihi sebelum aku atau mereka 'pergi'.
Manusia mudah alpa. Sering kali terlupa bahawa dunia hanya pinjaman sementara, dan akhirat itu yang kekal selamanya.Mereka mencari keseronokan dunia, keseronokan yang sementara dan hanya membawa bencana. Contoh sudah ada didepan mata. Sumbang mahram, maksiat dan zina, kes pembuangan bayi, dan di atas desakan untuk terus menikmati nikmat dunia yang fana, ada yang menderhaka pada ibubapa, sanggup memukul malah membunuh ibubapa serta orang tua. Banyak lagi yang boleh dibangkitkan. Tapi bukan itu yang ingin aku ceritakan.
Cuma, alangkah kesal dan terkilan rasa hati andai saat-saat atau waktu-waktu terakhir bersama orang-orang yang tersayang dan tercinta tidak aku gunakan dengan sebaik mungkin. Malah lebih menyedihkan jika aku selalu menambah duka dihati mereka ini?
Pepatah ada mengatakan, kita tidak akan sedar apa yang ada didepan mata, apa yang kita ada, sehinggalah kita kehilangannya.
Aku ingin sekali membahagiakan mereka hingga akhir usia. Insya'allah..
Why I English
1 month ago
No comments:
Post a Comment